KSSR KURANGKAN TEKANAN PEPERIKSAAN, BINA MODAL INSAN BERKESAN

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pelajaran negara setanding piawaian global.  KSSR menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan sejak 1993 mempunyai beberapa penambahbaikan dengan menjadikan kurikulum negara maju sebagai rujukan. Antara pembaharuan dilaksanakan adalah menerapkan elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Fokus 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang dilaksanakan sejak KBSR ditambah dengan satu lagi aspek iaitu menaakul menjadikannya 4M.

KSSR masih mengekalkan prinsip KBSR dengan mempunyai penambahbaikan iaitu menggunakan pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan sama rata untuk semua murid serta pendidikan seumur hidup. Kurikulum ini turut bersandarkan enam tunjang iaitu komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan diri, sains dan teknologi serta kerohanian, sikap dan nilai.  Pembaharuan lain diperkenalkan KSSR adalah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dengan matlamat mengurangkan tekanan peperiksaan awam, memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), memperbaiki pembelajaran murid, pentaksiran holistik dan berterusan serta membina modal insan dengan lebih berkesan.

Ada lima kaedah pentaksiran dilaksanakan melalui SPPK iaitu pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum, pentaksiran sekolah, pentaksiran psikometrik, peperiksaan pusat serta pentaksiran pusat. Di bawah pentaksiran sekolah, setiap sekolah bertanggungjawab melaksanakan sistem pentaksiran sendiri yang dirancang dan diperiksa guru membabitkan murid, ibu bapa dan organisasi luar yang dipecahkan kepada dua iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif.  Pentaksiran formatif membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid menggunakan pelbagai kaedah dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid.  Guru tidak dibenar membandingkan murid serta meletakkan skala yang menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan sebelum ini.
Pentaksiran sumatif dilakukan pada hujung pembelajaran dengan membuat pertimbangan dan penilaian prestasi murid dalam meneruskan pembelajaran. Maklumat itu dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut standard ditetapkan sekolah. Pembaharuan lain ialah segala perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka termasuk ujian dan peperiksaan disimpan dalam portfolio. Dokumen itu merekodkan kegiatan dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa.  Portfolio adalah kaedah pengumpulan hasil kerja murid yang sistematik dan menjadi bukti perkembangan murid sepanjang tempoh pembelajarannya. Dokumen ini dibahagikan kepada dua iaitu portfolio perkembangan dan pameran.  Portfolio perkembangan menunjukkan perkembangan pembelajaran murid dari semasa ke semasa, membantu guru memantau perkembangan dan membuat pentaksiran serta membolehkan murid melakukan penilaian kendiri dalam menetap matlamat yang hendak dicapai.

Dokumen itu turut membolehkan semua pihak termasuk ibu bapa menilai perkembangan pembelajaran anak dengan tepat, mengesan kekuatan atau kelemahan murid secara berterusan serta mengenal pasti bakat dan minat murid.  Portfolio pameran mempamerkan tahap penguasaan dan pencapaian murid pada akhir tempoh pembelajaran mereka selain sebagai bahan bukti untuk rujukan dan penilaian akan datang, memberi maklumat aptitud murid kepada guru yang akan mengajarnya pada tahun berikutnya serta dijadikan penilaian untuk pemberian penghargaan.
portfolio memudahkan guru menyemak rekod pembelajaran murid serta mengetahui kelemahan mereka dan cara mengatasinya. “Pengukuran tahap pembelajaran murid kini dapat dilakukan menerusi standard prestasi yang berupaya menentukan tahap penguasaan mereka mengikut band bermula dari satu hingga enam.

“Setiap band memiliki penilaian bermula band satu bermaksud murid tahu, band dua (tahu dan faham), band tiga (tahu, faham dan boleh buat), band empat (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab), band lima (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab terpuji) serta band enam (murid tahu, faham dan boleh buat dengan beradab mithali.
Kesimpulannya, pengenalan KSSR menggantikan KBSR  membabitkan murid Tahun Satu /Dua sekarang dan seterusnya hingga ke Tahun Enam adalah inisiatif memperkasa modal insan negara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s